KUALA LUMPUR: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengalu-alukan Abu Dhabi Future Energy Company (MASDAR) untuk menerokai potensi pelaburan di Sarawak.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, di bawah strategi pembangunan ekonomi Sarawak yang menggabungkan kemampanan, pembangunan tenaga hijau diperbaharui terutama tenaga solar, menawarkan peluang pelaburan berpotensi tinggi.
Sarawak turut komited dan bersungguh-sungguh membangunkan perniagaan karbon (CCUS) dan telah menetapkan peraturan serta piawaian untuk mempercepatkan pembangunan industri itu yang pertama di rantau ini, katanya dalam pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif MASDAR, Mohamed Jameel Al Rahami di sini semalam.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Fadillah Yusof hadir sama pada pertemuan itu.
Pertemuan itu antara lain bagi membincangkan potensi pelaburan dalam projek tenaga diperbaharui di Sarawak.
MASDAR dari Abu Dhabi merupakan sebuah syarikat terkemuka dunia dalam pembangunan tenaga diperbaharui dan kelestarian teknologi.
Pada Oktober lalu, MASDAR menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk melabur US$8 bilion membangunkan projek tenaga diperbaharui 10 gigawatts (GW) secara perkongsian strategik yang memberi sumbangan besar kepada transformasi projek kemampanan tenaga Malaysia.
Awang Tengah menzahirkan terima kasih kepada Fadillah atas kejayaan mengaturkan majlis pertemuan itu untuk membolehkan syarikat berkenaan mengambil kesempatan yang ditawarkan oleh Sarawak.
Hadir sama Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Dzulkornain Masron, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Abang Ahmad Morni, dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei, Datu Abdullah Julaihi.
Turut hadir Abang Arabi Abang Narudi dari PETROS, Nicholas Chong dari Sarawak Energy Bhd, Timothy Ong dari InvestSarawak dan pegawai kanan MIDA.
Sumber dari : Jiwa Bakti